Terkini dari N28 Kerdau, Pahang

Terkini @RT

Ali Rustam ketuai PRK DUN Merlimau

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilantik sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata, pelantikan Mohd Ali itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN.

"Kita berkeyakinan terhadap kemampuan dan pengalaman beliau sebagai Ketua Menteri untuk menggerakkan jentera Barisan Nasional dan memastikan kerusi Merlimau itu kekal di pihak BN," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan di Masjid Pekan Ayer Panas di sini, pada Sabtu.

Beliau berharap, calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau yang bakal dipilih kelak akan menerima sokongan daripada masyarakat kawasan terbabit serta semua anggota dan kepimpinan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau ialah pada 26 Feb depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 6 Mac.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, dari BN pada 20 Jan lepas.

SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Melaka pada 21 Jan lepas berhubung kekosongan kerusi DUN Merlimau berikutan kematian Mohamad Hidhir.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Muhyiddin berkata, ketua Umno bahagian akan mengemukakan senarai calon kepada Badan Perhubungan Umno Melaka, yang akan memanjangkan senarai itu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

Beliau berkeyakinan BN bukan sahaja mampu mengekalkan kerusi DUN Merlimau itu, tetapi juga mampu meningkatkan tahap sokongan.

-- BERNAMA

No comments:

N-27 DUN MERLIMAU

25 Suara Sahih Terkini