Terkini dari N28 Kerdau, Pahang

Terkini @RT

Pengundi Cina, India dan golongan muda buat kejutan besar !!

Beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) hari ini yakin trend peningkatan sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN seperti yang ditunjukkan pada beberapa pilihanraya kecil lalu akan berterusan khususnya di Merlimau.

Menteri "orang muda" bersama calon "orang muda" Merlimau
Mereka berpendapat suasana politik hari ini sudah berubah berbeza dengan pilihanraya umum lalu berikutan beberapa pendekatan yang diambil kerajaan terutama Gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha beberapa tindakan parti pembangkang selepas pilihanraya umum lalu juga menyumbang kepada peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terutama di kalangan masyarakat Cina.

Jelasnya pengundi Cina sebenarnya mahukan suasana politik yang lebih stabil di samping keupayaan kerajaan BN ketika ini menyelesaikan beberapa perkara yang sebelum ini menjadi senjata pembangkang untuk menyerang BN.

Dato Seri Shabery bersama orang muda di Merlimau
“Kita yakin trend sokongan ini akan berterusan di Merlimau. Masyarakat Cina mahu politik yang stabil serta parti yang konsisten. Mereka sudah mampu menilai”, katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.

Mengenai pendekatan yang digunakan MCA di Merlimau pula beliau berkata MCA akan mengadakan program dan aktiviti masyarakat seperti lazimnya dilakukan pada setiap pilihanraya kecil di samping mengadakan pertemuan dengan kelompok kecil menerusi pelbagai persatuan masyarakat terbabit

Beliau juga yakin kekuatan jentera BN dapat memastikan kemenangan besar untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau selain menangkis setiap taktik kotor pembangkang.

Sementara itu Presiden MIC, Datuk G. Palanivel pula berkata parti itu menyasarkan sokongan masyarakat India kepada BN pada pilihan raya kecil ini sekurang-kurangnya setanding dengan sokongan pada pilihan raya kecil di DUN Tenang, Johor.

“Saya difahamkan bahawa kira-kira 75 peratus pengundi India berpihak kepada BN di Tenang dan peratusan undi ini akan cuba dikekalkan di Merlimau,” katanya.

Beliau berkata jentera parti MIC peringkat pusat termasuk sayap Wanita dan Pemuda telah mengenal pasti lebih 1,200 pengundi India di Merlimau daripada keseluruhan 1,567 pengundi dan tempoh kempen akan digunakan untuk melipatgandakan usaha meraih undi bagi BN.

Jelas beliau dua tumpuan utama MIC ialah di Merlimau Pasir dan Jasin Lalang yang masing-masing mempunyai 468 dan 365 pengundi kaum India.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula berkata parti itu telah menggerakkan jenteranya dari awal untuk memastikan kemenangan menjadi milik BN pada pilihan raya kecil itu.

“Kita telah kenal pasti pengundi di sini di kalangan ahli kita kira-kira 200 orang, kita juga adakan aktiviti datang rumah ke rumah untuk meninjau masalah rakyat dan meraih sokongan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai calon BN, beliau berkata daripada pemerhatian beliau, calon muda BN itu amat mesra dan tidak sombong dengan penduduk di kawasan Merlimau.

Bagi Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk M Kayveas berkata pada pilihan raya kecil ini sokongan kepada BN nampak begitu padu dan kerjasama antara anggota komponen BN begitu baik sekali.

“Di sini kita ada 252 pengundi di kalangan PPP dan kita telah pun menemui mereka dan semuanya akan mengundi BN.

“Kita juga yakin pengundi di kalangan kaum India juga akan berpihak kepada kita setelah mereka melihat keadaan huru hara di kalangan parti pembangkang”, katanya.

Golongan muda kini juga sudah menunjukkan kecenderungan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memahami dan memenuhi kehendak golongan tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata golongan muda melihat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang banyak memberi inspirasi kepada mereka.

"Kalau dibandingkan dengan keputusan pilihan raya umum 2008 yang lepas, antara punca kekalahan BN (di negeri dan kerusi tertentu) ialah kurangnya sokongan daripada pengundi muda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program sembang bersama pemimpin belia dan kembara promosi Hari Belia Negara 2011 di Merlimau Pasir dekat sini, malam tadi.

Ahmad Shabery berkata golongan muda kini menyedari bahawa pakatan pembangkang yang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipimpin oleh orang tua yang tidak sealiran dengan kehendak mereka.

Beliau percaya pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan menyokong BN pada pilihan raya kecil DUN itu pada 6 Mac depan.

"Lebih-lebih lagi calon BN Roslan Ahmad, 44, adalah bekas aktivis belia, maka sudah tentu beliau faham dengan baik kehendak orang muda. Bagi saya tidak ada isu besar maka tidak ada sebab orang muda tidak bersama BN," katanya dengan menambah terdapat 39 peratus pengundi berusia antara 21 dan 40 tahun di DUN Merlimau.

Roslan, ditentang oleh calon PAS Yuhaizad Abullah, 38, bagi kerusi DUN Merlimau yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sementara itu, Ahmad Shabery menasihati para belia India supaya tidak menyertai perhimpunan haram yang dirancang pertubuhan yang diharamkan, Hindraf atau Hindu Rights Action Force, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata belia India tidak sepatutnya terpengaruh dengan Hindraf kerana isu yang mereka ketengahkan adalah tidak berasas, satu pembohongan dan tidak benar.

Katanya semua kaum di negara ini mempunyai isu tetapi kerajaan dapat menguruskan semua isu tersebut dengan baik.

"Perarakan di jalan raya tidak relevan di Malaysia," katanya sambil menambah bahawa perbuatan tersebut akan menjejaskan ketenteraman awam.

-MediaUMNO dan Bernama

No comments:

N-27 DUN MERLIMAU

25 Suara Sahih Terkini