Terkini dari N28 Kerdau, Pahang

Terkini @RT

Tidak terpilih: Jangan 'cah keting' atau mensabotaj parti !!!

Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak terlampau yakin dengan kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau nanti kerana sikap itu boleh menjejaskan kualiti kerja mereka.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun DUN Merlimau merupakan kubu kuat BN, anggota jentera BN tidak harus memandang rendah terhadap strategi yang akan dilancarkan pembangkang dan perlu bekerja keras untuk mematahkan strategi yang diatur mereka.

"Kalau pembangkang ada 10 strategi, kita mesti ada 20 strategi yang lebih kuat (bagi memenangi pilihan raya kecil ini)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera BN bagi peti undi kawasan Merlimau Utara di Taman Harmoni, Merlimau di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata setiap anggota jentera BN perlu mempunyai keyakinan untuk memenangi pilihan raya kecil ini tetapi sekiranya anggota itu terlampau yakin ia boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti kerja mereka.

Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu serta penyokong mereka supaya tidak berkecil hati dan terus bekerja untuk memastikan kemenangan BN. Katanya mereka ini juga dinasihatkan supaya tidak melakukan 'cah keting' atau mensabotaj parti sekiranya individu pilihan mereka tidak terpilih.

Ahmad berkata mengikut laporan awal serta lawatan beliau di kawasan DUN Merlimau, semuanya berjalan lancar dan pada kali ini jentera BN menggunakan formula diberi nama 'Matjenpecal'.

Katanya formula itu membawa maksud matlamat BN untuk menang majoriti lebih besar, jentera yang kukuh dan bersepadu, perpaduan berdasarkan gagasan 1Malaysia dan calon terbaik yang boleh membawakan kemenangan serta disukai oleh pengundi di kawasan itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac ini jika ada pertandingan.

Pada pilihan raya 2008 lalu, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

- BERNAMA

No comments:

N-27 DUN MERLIMAU

25 Suara Sahih Terkini